AR Rumah Melayu Tradisional Negeri Sembilan
Rumah tradisional di Negeri Sembilan terkenal dengan reka bentuk bumbungnya yang melentik di hujung. Rekabentuk ini menyamai rumah Minangkabau. Hal ini kerana kebanyakan penduduk asal Negeri Sembilan berketurunan Minangkabau.
Rumah tradisional Negeri Sembilan dibina menggunakan kaedah pasak dan tanggam tanpa menggunakan paku. Ruang depan bermula dengan serambi rumah atau ruang tamu. Bahagian kedua dalam rumah Negeri Sembilan ialah ruang loteng yang merupakan tempat simpanan barang-barang dan ruang ini terletak di rumah ibu. Antara bahagian rumah yang lain ialah kolek anak. Bumbung rumah ini mempunyai reka bentuk yang rata dan bahagian hujung yang melentik.
Rekaan dinding rumah Negeri Sembilan pula mempunyai variasi mengikut kemampuan masyarakat. Antara jenis dinding rumah tradisional di Negeri Sembilan ialah dinding sisik tenggiling, papan tengah berlidah, papan serong berlidah, apit-apit, pelupuh, anyam beremban dan kulit kepong.
Keunikan rumah Negeri Sembilan terletak pada bumbung panjang. Rumah bumbung panjang Minangkabau Negeri Sembilan mempunyai tiang dua belas, enam belas ataupun dua puluh. Ada yang beranjung satu, dua ataupun tiga. Dari ketiga-tiga rumah anjung itu, rumah beranjung satu lebih popular daripada yang lain. Rumah beranjung tiga agak sedikit, kerana hanya raja dan mereka yang bergelar datuk sahaja yang boleh membina rumah sedemikian.